KUALA LUMPUR: UMNO perlu memastikan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden serta semua jawatan lain dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun depan, tegas Tan Sri Shahrir Samad.

Memetik laporan Utusan Malaysia, veteran UMNO itu melihat ia sebagai satu respons kepada ‘kekalahan’ yang dialami Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jelasnya, kedua-dua jawatan itu perlu dibuka kepada semua kerana ia turut melibatkan suara akar umbi parti meskipun ia pernah dimenangi tanpa bertanding oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

“Tidak bermakna ia tidak perlu dipertandingkan dalam pemilihan kali ini. Bila pilih pemimpin melalui pemilihan, baru parti boleh tentukan hala tuju. Takkan nak sekat. Ini demokrasi, ini caranya untuk hidupkan dan mekarkan kembali UMNO.

“Siapa yang boleh bertanding dan tawarkan diri, dia layak untuk bertanding. Yang nak mengundi ramai, jadi kena teruskan amalan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

BACA: Pemilihan UMNO wajar diadakan secepat mungkin - Wan Agyl 

Kali terakhir jawatan Presiden dipertandingkan adalah pada 2018 yang dimenangi oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menewaskan Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah manakala Datuk Seri Mohamad Hasan memenangi jawatan Timbalan Presiden dengan menewaskan Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun, jawatan Presiden pernah dimenangi tanpa bertanding apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menang pada pemilihan 1990, 1993, 1996 dan 2000 selepas kali terakhir dicabar oleh Tengku Razaleigh pada 1987.

Tradisi itu diteruskan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menang tanpa bertanding pada 2004 dan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009 dan 2013.

Jawatan Timbalan Presiden juga pernah dimenangi tanpa bertanding oleh Tun Ghafar Baba pada 1990, Datuk Seri Anwar Ibrahim (1996), Abdullah (2000), Najib (2004) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (2013).